Madu vs Racun
Thursday, 5 July 2012
Wednesday, 4 July 2012
APA ITU SANTAU RADIOAKTIF ???
GEBENG DAN SANTAU RADIOAKTIF
Naratif dan jalan cerita kilang santau radioaktif Lynas ini wajib didengar sekali lagi. Pada hemat saya, kisah santau di Gebeng ini bermula di zaman Abdullah Badawi. Hingga ke hari ini umum masih belum mengetahui siapa yang telah melobi pentabiran Abdullah Badawi untuk membawa masuk kilang santau ini. Tukang lobi ini pasti sedar bahawa dalam suasana pentabiran yang 'ngantuk' pasti tandatangan Abdullah dapat dilicinkan dengan senang untuk melecok pelulusan kilang santau ini.
Pentabiran Abdulah Badawi yang sibuk dengan pelbagai jenis koridor telah mengarahkan syarikat santau nadir bumi ini untuk menemui Menteri Besar, Idris Jusuh di Terengganu. Telok Kalung - kawasan indah di tepi laut - didaerah Kemaman telah dikenal pasti sebagai daerah yang amat sesuai untuk kilang santau radioaktif ini beroperasi.
Disini, saya mencadangkan agar warga Terengganu dan rakyat Malaysia memberi tabik penghormatan dan berterima kasih kepada Idris Jusuh. Sebusuk-busuk Idris Jusuh, dia juga memiliki hati nurani yang baik. Selama tiga tahun kertas cadangan pembukaan syarikat santau ini terdampar di meja MB. Tiga tahun cadangan ini tidak dipedulikan. Yang Berhormat Idris Jusuh sedar tentang bahaya dan malapetaka yang akan menimpa warga Terengganu jika kilang ini dibenarkan beroperasi. Justeru, Idris Jusuh tidak ambil pot dan tidak melayan sang pelobi ini.
Kerana gagal di Terengganu, maka sang pelobi telah beralih ke Pahang. Menteri Besar Adnan Yacob yang memiliki bahasa tangan yang cekap, melihat syarikat santau ini sebagai peluang yang baik. Dua minggu sebelum PRU12 yang lalu, MB Pahang ini telah membenarkan Lynas Corporation Ltd, syarikat cari gali nadir bumi yang beribu pejabat di Australia untuk membuka kilang memproses nadir bumi di kawasan perindustrian Gebeng Pahang.
Semua ini belaku tanpa diketahui ramai. Semua ini berjalan dengan senyap lagi sunyi. Projek diluluskan ketika seluruh rakyat Malaysia sedang sibuk berkempen untuk pilihan raya. Kemudian rakyat Malaysia sibuk pula merayakan kejayaan Pakatan Rakyat. Dalam senyap-senyap ini, rupa-rupanya satu 'bom jangka' yang bernilai RM2.5 bilion sedang dipasang di Gebeng.
Untuk memahami apa dia nadir bumi, kita wajib kembali 30 tahun ke belakang. Pada tahun 1979, kerajaan telah meluluskan kebenaran kepada syarikat Asian Rare Earth Sdn Bhd untuk membuka kilang di Bukit Merah Perak. Syarikat ini juga bergerak dengan licik dan bijak.
Syarikat Mitsubishi Chemical Industries milik Jepun ini telah bersubahat dengan Lembaga Urusan Tabung Haji. Usahasama ini bertujuan untuk mengolah persetujuan agar orang Melayu senyap - jangan bersuara - kerana ada syarikat agama Islam, mereka akan bertimbun-timbun membuat duit.
Pada tahun 1982 warga daerah Papan di Parit, Perak telah mula sedar bahawa kawasan mereka telah dipilih untuk menanamkam sisa dari loji kilang ini. Kilang ini beroperasi di Kampong Baru Bukit Merah. Kawasan perumahan masyarakat China dan Syarikat Tabung Haji dipilih secara strategik. Tabung Haji dipilih untuk menyedapkan hati orang Melayu. Bukit Merah dipilih kerana kawasan perumahan orang China. Inilah strategi licik yang dirancang dengan rapi oleh syarikat santau radioaktif dari Jepun ini.
Apa sebenarnya nadir bumi? Orang Melayu awal-awal dahulu memanggil ini amang - satu panggilan yang salah. Logam bijih nadir bumi tersimpan dalam perut bumi dan perlu digali untuk mendapatkannya. Manakala amang ditemui bersama bijih timah. Logam nadir bumi ini diperlukan untuk bateri, mentol lampu, ipone, bom cerdik dan boleh digunakan dalam pelbagai teknologi terkini.
Bijih logam ini tidak merbahaya. Ianya bukan santau. Tetapi apabila logam ini diproses akan muncul sama thorium dan uranium. Dua bahan ini wujud bersama nadir bumi ini. Sisa-sisa dari memproses logam inilah yang mengandungi santau radioaktif.. Santau thorium dan santau uranium amat bahaya untuk manusia, binatang, tanaman dan untuk muka bumi ini.
Kenapa saya menulis dan menggunakan 'santau' dihadapan perkataan radioaktif. Ini bertujuan untuk memberi ingatan kolektif kepada orang Melayu. Masyarakat Melayu selama ini telah dibebalkan dari memahami bahaya kilang Lynas ini. Media Melayu telah membodohkan orang Melayu tanpa memberi mereka pengetahuan yang betul tentang santau ini. Justeru, dengan menggunakan perkataan 'santau' maka diharapkan orang Melayu akan sedar bahawa radioaktif ini memiliki watak seperti santau.
Santau dalam budaya pemahaman orang Melayu boleh bergerak melalui angin. Santau juga boleh bergerak didalam air. Justeru santau dan radioaktif ini memiliki watak dan ciri-ciri yang sama. Apabila radioaktif ini dikahwinkan dengan perkataan santau ini, diharapkan masyarakat Melayu yang selama ini dibodohkan akan dapat memahami marabahaya dihadapan mereka.
Berbanding dengan masyarakat China dimana media Tionghua cukup arif menerangkan bahaya santau ini. Juga masyarakat China di Papan dan di Bukit Merah telah pernah menjadi mangsa santau radioaktif ini. Mereka telah melihat anak-anak mereka lahir cacat. Mereka telah melihat ramainya anak-anak mereka yang tinggal dikawasan pembuangan sisa kilang di Bukit Merah telah mendapat barah leukemia.
Masyarakat China, 30 tahun dahulu telah bangun menentang kilang Asia Rare Earth di Papan. Perjuangan yang panjang ini akhirnya berjaya apabila mahkamah mengarahkan kilang ini ditutup pada tahun 1994.
Hari ini - 30 tahun kemudian - duit rakyat Malaysia sebanyak RM 300 juta telah digunakan untuk membersihkan tempat simpanan sisa nadir bumi ini. Kilang ini telah dimusnahkan, tetapi sisa santau ini akan terus wujud untuk beratus-ratus tahun. Pada ketika ini, kawasan ini telah menjadi kawasan larangan yang dipagar. Tetapi santau radioaktif masih lagi boleh bergerak melalui udara dan air. Towkay Jepun ini telah telah selamat pulang untuk berendut dengan Geisha di Tokyo. Yang tinggal menerima padah ialah warga Bukit Papan.
Orang ramai pasti menjadi hairan dan pelik. Jika santau radioaktif ini merbahaya, kenapa Menteri Besar Pahang dan kerajaan Malaysia memberi kebenaran kepada Lynas Corporation Ltd untuk mendirikan kilang nadir bumi yang terbesar dalam dunia?
Ada macam-macam teori yang tersebar dari mulut ke mulut, kenapa kilang santau ini dibenarkan beroperasi. Seperti biasa, Pak Cik Nelayan dan Mak Cik Nasi Lemak di Gebeng akan berkata "...ada yang dah buat duit..." Siapa yang buat duit dan dari mana duit ini datang tidak pula jelas. Tapi inilah labon cerita orang-orang kampong.
Apa yang terbukti sahih ialah syarikat Australia ini pasti akan membuat duit kerana selama 12 tahun ianya TIDAK perlu membayar cukai. Ini sebahagian dari penjanjian yang telah diikat. Kenapa syarikat ini tidak membayar cukai? Hanya Sang Patin dalam Sungai Pahang sahaja yang maha mengetahui.
Selain dari berita pelik - tak bayar cukai ini - ada lagi satu berita yang amat-amat pelik. Biasanya Jabatan Alam Sekitar perlu membuat kajian sebelum apa-apa projek diluluskan. Entah kerana Berok mana yang amat berkuasa, sehinggakan laporan dari Jabatan Alam Sekitar ini tidak diperlukan untuk kilang santau ini. Bunyinya memelikan, tetapi inilah tanda Malaysia Boleh.
Semua yang berlaku ini telah diperhatikan secara desas-desus oleh orang-orang kampong di sekitar Gebeng, Balok dan Cherating. Kilang ini letaknya tidak berapa jauh dari pantai Cherating dan pantai Balok. Cherating terkenal dengan Club Med-nya manakala Balok adalah kawasan yang pantainya menjadi idaman warga kota di hujung minggu. Orang kampong dan nelayan di Balok hanya berlabon kosong, kerana mereka tidak arif dalam hal santau-menyantau.
Akhirnya, berita kilang santau di Gebeng ini 'meletup'. Pada bulan Mac dan Jun 2011, akhbar The New York Times yang amat berpengaruh di Amerika telah membocorkan berita loji terbesar dalam dunia ini sedang dibuat. Tiba-tiba Lynas menjadi buah mulut bukan sahaja di Malaysia, malah melimpah ke Australia dan ke seluruh dunia.
Dengan tidak semena-mena harga nilai tanah mula merundum di Kuantan. Tiba-tiba kelihatan banyak tercacak papan tanda - to rent or to sell - di hadapan rumah-rumah mewah di Kuantan. Berita dari akhbar Amerika ini menjadikan warga Kuantan dan sekitarnya gelisah.
Kumpulan masyarakat sivil dan beberapa NGO alam sekiar mula membuat bantahan. Kisah kilang santau Lynas mula didengar di Parlimen. Kerajaan Barisan Nasional yang semakin mengecut sokongon dari para pengundi menjadi gelabah. Sekali lagi orang ramai teringat akan mangsa kilang Rare Earth di Bukit Merah. Kegelishan dan ketakutan orang ramai ini telah diterjemahkan kepada beberapa tunjuk perasaan menentang kilang santau Lynas.
Seperti biasa kerajaan mula menjalankan beberapa taktik untuk mengolah persetujuan dan mententeramkan hati penduduk di Gebeng dan Kuantan. Tiba-tiba arahan diberikan untuk membuat kajian oleh Jabatan Alam Sekitar. Agensi Nuklear Malaysia juga memberi pandangan. Jawatankuasa Khas Parlimen juga ditubuhkan. Semua ini tidak meyakinkan penduduk di Gebeng dan Kuantan bahawa kilang santau ini tidak merbahaya. Penduduk di Gebeng dan Kuantan melihat semua ini sebagai sandiwara.
Pada 26 Februari tahun ini, seramai 20,000 anak semua bangsa dari seluruh Malaysia telah datang untuk bersetia kawan dengan warga Gebeng. Ini adalah satu perhimpunan anti-Lynas yang paling besar pernah diadakan di Kuantan. Gerakan anti-Lynas yang disusun oleh Himpunan HIjau.
Mereka telah juga bekerjasama dengan BERSIH 3.0 pada 28 April yang lalu. Berpuluh ribu penyokong Himpuan Hijau telah sama berdemo dengan penyokong Bersih 3.0.
Perdana Menteri Najib Razak sedar bahawa sokongan dari pengundi Cina semakin merosot. Gerakan anti-Lynas ini sedang membarah dan sedang mengancam banyak kerusi DUN dan Parlimen di Pahang.
Ketika tulisan ini sedang digarap, kerajaan Barisan Nasional telah memberikan lesen sementara kepada Lynas Coperation Ltd dengan syarat, sisa dari kilang ini akan dibawa pulang ke Australia, atau syarikat ini menyediakan satu kawasan yang selamat dimana sisa santau radioaktif ini akan ditanamkan.
Untuk sementara waktu ini, dengan pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi, mustahil kilang santau ini akan beroperasi. Jika kilang ini mula beroperasi bermakna Najib Razak ingin membunuh diri. Ini kerana Pakatan Rakyat secara terbuka telah menyatakan bahawa jika Pakatan Rakyat mengambil alih pentabiran Malaysia, kilang santau ini akan ditutup.
Kelihatan pertempuran antara pemegang saham syarikat Australia ini dengan warga Gebeng 'terhenti' untuk sementara. Tetapi persoalan hakiki masih belum di jawab. Jika kilang santau nadir bumi ini selamat, mengapa kerajaan Australia tidak membenarkan kilang ini dibuka di Australia sendiri. Walhal, Australia, sebuah benua memiliki kawasan tanah yang beratus kali ganda luasnya dari Malaysia.
Inilah soalan hakiki yang amat menakutkan warga di Gebeng. Inilah mimpi ngeri yang membuatkan ramai warga Kuantan mula ingin berpindah. Soalan ini belum mendapat jawapan yang tuntas. Malah soalan ini juga memerlukan jawapan untuk seluruh warga Malaysia.(TT)
berdemo lagi sabtu 14julai 2012
HIMPUNAN OREN - SABTU 14 JULAI JAM 2.00 PETANG
Kumpulan antipenyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Malaysia hari ini menghantar surat pemakluman berhubung perhimpunan mereka 14 Julai ini bagi memohon campur tangan Yang di-Pertuan Agong.
"Dalam surat tersebut, kita memohon kerjasama polis untuk menjaga keselamatan peserta perhimpunan dan lalu lintas.
"Kita sedia bekerjasama dengan polis," kata penyelaras gabungan Gerakan Selamatkan Felda (GSF) Mazlan Aliman ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurut Mazlan, beliau mengetuai tujuh delegasi menyerahkan surat makluman tersebut kepada Ketua Polis Daerah Sentul Zakaria Pagan di ibu pejabat polis itu kira-kira jam 12.15 tengah hari berhubung
"Perhimpunan Oren Selamatkan Felda".
Perhimpunan itu dijadual berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum berarak ke Istana Negara melalui Jalan Duta bermula jam 2 petang.
MAzlan yang juga presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) berkata surat makluman tersebut diterima oleh seorang pegawai bagi pihak Zakaria.
Kira-kira 20,000 peserta dijangka hadir dalam perhimpunan tersebut.
Mazlan berkata dalam surat tersebut, pihaknya juga turut memaklumkan mengenai butiran perancangan mereka pada tarikh tersebut.
Sementara itu, Mazlan yang ahli jawatankuasa Pusat PAS berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan pertemuan dengan istana bagi memberikan maklumat dan gambaran awal berhubung perhimpunan mereka.
Katanya, mereka bercadang untuk mengadakan pertemuan tersebut pada 11 Julai ini.
"Maksudnya, pada 14 Julai itu, istana sudah mendapat gambaran mengenai perhimpunan ini," katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)